KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan rendah pada 4.48 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan susulan peningkatan jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) bulan ini.

Naib Presiden Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, kenaikan itu akan memberi tekanan lagi kepada mata wang tempatan.

“Tumpuan pasaran kini adalah kepada mesyuarat dasar Fed pada 14 dan 15 Mac,” katanya kepada BERNAMA.

Bagaimanapun, Nazri Khan yang juga Ketua Penyelidikan Runcit bank pelaburan itu berkata, pasaran juga akan diimbangi oleh laporan positif mengenai hasil kerjasama ekonomi kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi, ditambah dengan data makro yang memberangsangkan, apabila petunjuk ekonomi utama mencatat peningkatan 0.9 peratus.
Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit bergerak antara 4.4370 dan 4.4520 berbanding dolar AS.

Mengikut asas Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan rendah pada 4.4520/4570 berbanding dolar AS daripada 4.4370/4440 Jumaat minggu lepas.

Bagaimanapun, nota tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain. Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1470/1523 daripada 3.1612/1666 minggu lepas dan kukuh berbanding yen kepada 3.8960/8018 daripada 3.9440/9513. Mata wang tempatan naik berbanding pound kepada 5.4439/4514 daripada 5.5622/5719 dan turut meningkat berbanding euro kepada 4.6817/6883 daripada 4.7001/7084. – MalaysiaGazette