Najib Razak
SIPITANG – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kesepakatan pembangkang di Malaysia seperti pakata Ali Baba kerana tidak mempunyai persefahaman untuk memilih siapa bakal perdana menteri jika mereka mendapat kuasa.

Perdana Menteri juga menyifatkan pembangkang sebagai pelik kerana mereka hanya bersetuju untuk memilih Timbalan Perdana Menteri, menjadi individu paling berkuasa, kerana dia yang akan menentukan siapa bakal perdana menteri.

“Yang paling peliknya Timbalan Perdana Menteri yang akan memilih siapa yang akan jadi perdana menteri. Ini adalah Ali Baba, pembangkang adalah Ali Baba,” katanya ketika berucap merasmikan Lebuhraya Pan Borneo Sabah, di Sindumin dekat sini, hari ini.

“Siapa yang akan jadi perdana menteri mereka belum tentukan. Siapa yang mahu jadi perdana menteri? (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail), Datuk Seri Anwar Ibrahim, atau Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf dan timbalannya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Malah Najib juga menyifatkan pembangkang sebagai ‘membuyuk’ atau pembohong kerana hanya berani menabur janji manis kepada rakyat tetapi tidak ditepati.

“Kalau di Semenanjung kata ‘temberang’. Tentu kita tidak mahu orang main janji. Pembangkang hanya boleh janji, tapi itu janji kosong, mereka boleh janji tapi tinggal di bibir sahaja. Kita tidak mahu janji bulan dan bintang.

“Kita mahu kemajuan dan perubahan. Kita mahu supaya hari ini lebih baik daripada semalam. Hari ini, kita tengok kenyataannya, komitmen saya sebagai perdana menteri, lebuhraya Pan Borneo ini adalah hadiah untuk rakyat Sabah,” katanya.

Najib berkata Barisan Nasional (BN) merupakan sebuah parti yang mempunyai persefahaman dengan kesemua 13 parti komponen.

“Kita akan bangunkan semua rakyat tanpa mengira semua kaum, agama dan budaya, apatah lagi di Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian dan yang paling penting Sabah sentiasa bersama kita dalam perjuangan,” tambahnya.-MalaysiaGazette