GEORGETOWN – Kementerian Kesihatan sedang menunggu rekod kesihatan dan pergigian lelaki Korea Utara yang dikenali sebagai Kim Chol untuk mengesahkan identitinya sebenar.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, pihaknya akan memproses dengan cepat sebaik sahaja mendapatkan segala dokumen itu.

Menurut beliau, pihak kementerian sudah berada pada akhir siasatan. Setakat ini kami menunggu Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Negeri untuk mendapatkan rekod-rekod terbabit.

“Pasukan forensik negara adalah antara yang terbaik di dunia dan berupaya mengesahkan identiti mangsa berdasarkan rekod-rekod tersebut,” katanya di sini selepas melancarkan pasukan sukarelawan simpanan Maritim Malaysia di KD Sri Pinang di Jalan Akuarium di sini.

Hilmi berkata, kaedah itu adalah sama digunakan untuk mengenal pasti mangsa-mangsa tragedi pesawat MH17.

Kim Chol, lelaki Korea Utara yang dikenali sebagai Kim Jong-nam mati di balai berlepas klia2 pada 13 Februari lalu selepas mukanya diserkup oleh dua wanita, semasa menunggu pesawatnya ke Macau.

Analisis awal mendapati lelaki itu maut akibat agen saraf  VX, senjata kimia paling bertoksik. – MalaysiaGazette