Duta Besar Malaysia di Pyongyang, Mohamad Nizan Mohamad tiba di KLIA pada 22 Februari 2016 selepas dipanggil pulang oleh Wisma Putra.

KUALA LUMPUR – Korea Utara bertindak mengisytiharkan Duta Malaysia di Pyongyang sebagai persona non grata dan mengarahkan Mohamad Nizan Mohamad meninggalkan negara itu dalam tempoh 48 jam bermula pukul 10 pagi Ahad.

Agensi berita Reuters melaporkan, keputusan itu dibuat menyusul selepas Malaysia melakukan tindakan seumpama itu terhadap Duta Besar Korea Utara di sini, Kang Chol.

Bagaimanapun MalaysiaGazette difahamkan Mohamad Nizan kini berada di Malaysia sejak beliau dipanggil balik oleh Wisma Putra untuk proses rundingan pada 22 Februari lalu.

BACA: Duta Malaysia di Pyongyang tiba di Kuala Lumpur

Jurucakap Kementerian Luar Raja Nushirwan Zainal Abidin ketika dihubungi Bernama turut mengesahkan duta itu yang dipanggil pulang dua minggu lepas bagi perundingan masih berada di Kuala Lumpur.

“Ya memang benar duta kita telah diisytiharkan sebagai PNG. Tindak balas ini merupakan perkara biasa dalam diplomasi.

“Perlu ambil perhatian bahawa duta besar Malaysia telah dipanggil pulang oleh kerajaan. Beliau kini berada di Malaysia dan telah berada di Malaysia sejak itu,” katanya.

Kang Chol diusir keluar dari negara ini selepas gagal menghadirkan diri ke Wisma Putra Sabtu lalu dan enggan memohon maaf di atas kecaman beliau terhadap pihak berkuasa di negara ini berhubung siasatan kematian Kim Jong-nam di klia2 pada 13 Februari lalu.

Kang Chol membidas pihak berkuasa Malaysia dalam penyiasatan kematian Jong-nam dengan mendakwa negara ini bersekongkol dengan pihak luar bagi memberikan imej buruk kepada negara republik tersebut.

Reuters memetik laporan agensi berita KCNA ekoran keputusan Malaysia itu dan Kang Chol telah pun kembali ke negara republik itu menerusi penerbangan jam 6.25 petang tadi ke Beijing.

Pada 22 Februari lalu iaitu sembilan hari selepas Jong-nam dibunuh dan ekoran kecaman Duta Besar Korea Utara terhadap Malaysia, Wisma Putra telah mengambil tindakan drastik memanggil pulang Mohamad Nizan untuk proses perundingan. – MalaysiaGazette