LIM GUAN ENG

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng masih berangan-angan satu lagi ‘tsunami politik’ akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kononnya rakyat sudah tidak lagi bersama Barisan Nasional (BN).

Lebih tidak masuk akal lagi, Setiausaha Agung DAP itu berkata, terdapat permintaan perubahan di Sarawak dan Sabah walhal diketahui umum semasa pilihan raya negeri yang lalu, parti pembangkang itu hilang lebih banyak kerusi ditandingi mereka berbanding sebelum ini.

“Saya tahu mereka terdesak. Di negeri-negeri mereka aktif, tahap intensiti kempen mereka adalah rendah.

“DAP yakin tsunami politik Malaysia yang baru akan berlaku termasuk permintaan untuk perubahan di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan selepas Retreat Kepimpinan DAP hujung minggu ini.

Untuk rekod, DAP kehilangan lima daripada 12 kawasan yang dikuasai mereka sebelum ini di Sarawak semasa pilihan raya negeri pada Mei tahun lepas dan lebih memalukan itu merupakan jumlah tertinggi pakatan pembangkang kalah mengikut rekod.

Semasa retreat itu, Guan Eng juga menggariskan langkah untuk memperkukuhkan pakatan pembangkang tanpa melibatkan Pas, kerjasama hanya melibatkan Pakatan Harapan dan PPBM sahaja.

“Antaranya adakah kita mempunyai pemimpin yang berkualiti untuk membawa Malaysia keluar daripada krisis ekonomi dan membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi, adakah pemimpin dan ahli UMNO dan BN secara intensif berkempen dan apakah sambutan rakyat terhadap UMNO dan BN?

“Cabaran ini akan menentukan sama ada pembangkang boleh memberi cabaran serius terhadap UMNO-BN,” katanya. – MalaysiaGazette