Warga Korea Utara itu ditahan anggota Jabatan Imigresen Bintulu bersama APMM dan Pasukan Polis Marin dalam operasi rutin, hari ini.

BINTULU – Seramai 37 warga Korea Utara yang bekerja di sektor pembinaan di sini, ditahan Jabatan Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka ke negeri ini dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Semua mereka ditahan antara jam 10 pagi hingga 1 tengah hari dalam operasi rutin jabatan itu di sebuah tapak pembinaan di Kuala Tatau.

Operasi yang turut disertai anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin itu dikatakan susulan daripada arahan kerajaan melarang warga Korea Utara keluar dari negara ini.

“Ketika operasi, sebahagian daripada pekerja itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri kerana pasport masing-masing disimpan majikan mereka.

“Agensi penguatkuasaan telah berhubung dengan majikan mereka bagi mendapatkan maklumat lanjut untuk membantu siasatan, selain sama ada mereka mematuhi prosedur ditetapkan,” kata sumber kepada media, hari ini.

Kata sumber itu lagi, hasil semakan mendapati semua pekerja berkenaan tidak mempunyai permit kerja yang sah, sebaliknya menyalahgunakan pas lawatan sosial yang diberikan kepada mereka.

Semua mereka, katanya, mempunyai rekod dengan Jabatan Imigresen untuk memohon permit kerja, tetapi tidak diluluskan atas sebab tertentu.

Beliau memberitahu, mengikut rekod, terdapat 170 warga Korea Utara yang bekerja di negeri ini iaitu dalam sektor perlombongan arang batu dan pembinaan di Sri Aman, Bintulu serta Lawas.

“Semua pekerja ini ditempatkan di Pusat Operasi Jabatan Imigresen Bintulu sementara menunggu pasport mereka diserahkan majikan masing-masing.

“Mereka akan dikenakan denda sebanyak RM300 atas kesalahan tinggal lebih masa dan bayaran RM100 untuk pas khas selama 30 hari.

“Mereka turut diberi tempoh selama 30 hari untuk proses pengusiran ke negara asal, dengan pasport mereka disimpan Jabatan Imigresen sementara menunggu prosedur itu,” katanya. – MalaysiaGazette