Duta Arab Saudi, Osama Mohammed Abdullah Al Shuaibi (kiri) menyerahkan cenderamata pedang emas sebagai cenderamata daripada Raja Arab Saudi kepada Ketua Polis Indonesia, Tito di Jakarta baru-baru ini.

JAKARTA – Polis Nasional Indonesia akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di republik itu mengenai hadiah pedang emas daripada Arab Saudi baru-baru ini.

Pedang pemberian Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al- Saud itu diserahkan kepada Ketua Polis Nasional Indonesia, Tito Karnavian oleh Duta Arab Saudi di negara itu, Osama Mohammed Abdullah Al Shuaibi pada 27 Februari lalu.

“Kami akan maklumkan kepada suruhanjaua rasuah mengenai cenderamata yang diterima,” kata jurucakap polis, Rikwanto seperti dilaporkan kompas.com. semalam.

Undang-undang rasuah yang digubal pada tahun 1999 mewajibkan kesemua kakitangan kerajaan mesti membuat laporan sekiranya menerima cenderamata atau wang tunai kepada suruhanjaya rasuah dalam masa 30 hari.

Menurut Rikwanto, cenderamata yang disertakan bersama kotak khas itu bukan milik peribadi Tito malah akan dipamerkan di Muzium Polis di Jakarta Selatan.

Cenderamata itu pemberian duta sempena lawatan rasmi Raja Arab Saudi ke Indonesia dan simbolik kepada usaha memperkukuhkan hubungan dua hala.

Raja Salman dan 1,500 rombongannya melawat Indonesia sejak 1 Mac lalu dan dijangka pulang pada 9 Mac selepas melancong ke Bali.

Selain bertemu dengan Presiden Indonesia, Jokowi, baginda juga bertemua dengan Megawati dan mengadakan dialog bersama pemimpin agama-agama di republik berkenaan.-MalaysiaGazette