Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa kerajaan menanggung lebih RM109 bilion subsidi barangan keperluan asas utama iaitu produk petroleum dan minyak masak sejak 2010.

Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, jumlah itu merangkumi subsidi kira-kira RM102.4 bilion untuk produk petroleum, manakala minyak masak (RM6.6 bilion).

Menurutnya, kerajaan mula melaksanakan rasionalisasi subsidi pada 2013 dengan mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi secara pukal kepada subsidi lebih tersasar.

“Di bawah prinsip ini, pemberian subsidi tetap diteruskan tetapi disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukan.

“Selain itu, pelaksanaan langkah rasionalisasi subsidi ini adalah meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan mengagih sumber kewangan negara serta menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang lebih cekap.

“Ketirisan perbelanjaan kerajaan juga dapat dikurangkan khususnya melalui pengurangan kegiatan penyeludupan dan penyelewengan serta penggunaan barangan bersubsidi oleh warga asing,” katanya.

Johari berkata demikian menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah subsidi minyak, minyak masak dan keperluan asas yang dibayar oleh kerajaan Persekutuan untuk setiap tahun sejak 2010.

Guan Eng dalam soalannya turut meminta dinyatakan penjimatan wang selepas subsidi dimansuhkan, apakah langkah yang dicadangkan untuk memastikan kenaikan harga tidak membebankan rakyat termasuk melaksanakan had siling harga.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Johari berkata, sebahagian daripada penjimatan disalurkan semula secara terus kepada golongan berpendapatan rendah iaitu golongan sasar dalam bentuk bantuan tunai seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan bantuan persekolahan.

Katanya, sebahagian lagi penjimatan itu digunakan untuk pembiayaan program dan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Ia termasuk menyediakan peruntukan untuk perkhidmatan pendidikan dan kesihatan, pembangunan masyarakat di bandar dan luar bandar serta menambah baik sistem pengangkutan awam,” ujarnya.

Di samping itu jelas beliau, kerajaan terus menyediakan insentif bagi meningkatkan pengeluaran produk pertanian seperti padi dan getah serta perikanan yang turut memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah. – MalaysiaGazette