Jamal Md. Yunos

KUALA LUMPUR – Selepas terbukti Yayasan Anak Warisan Anak Selangor (YAWAS) diterajui seorang muflis kali ini ia didakwa tidak pernah mengadakan mesyuarat tahunan sejak dua tahun lebih beroperasi.

Pengerusi Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa mempengerusikan mesyuarat YAWAS sekali pun sebagai pengerusi.

“Jadi saya minta ROS (Pendaftar Pertubuhan) atau MB Selangor sendiri maklumkan sama ada YAWAS ini ada mesyuarat tahunan atau tidak?

“Ia penting kerana yayasan yang sama menguruskan harta dan wang rakyat kira-kira setengah bilion,” ujarnya dalam sidang media di sini petang tadi.

Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar mendakwa sekiranya tidak ada mesyuarat, ROS perlu mengambil tindakan ke atas YAWAS mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Jika NGO pun kena ada minit mesyuarat hantar kepada ROS inikan pula yang menguruskan yayasan kerajaan negeri dan wang rakyat berjuta-juta,” katanya lagi.

Menurutnya, jika Mohamed Azmin tidak tahu mengurus syarikat atau yayasan Jamal menasihatinya supaya belajar daripada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Mohamed Azmin seorang ahli politik yang bagus tetapi bukan seorang MB yang bagus,” katanya.

Sebelum itu, Mohamed Azmin mendakwa tindakan telah diambil terhadap Pengurus Besar YAWAS, Kamsani Nasir kerana beliau seorang yang muflis tetapi menafikan ia dibuat selepas pendedahan Jamal.

“Saya percaya dia (Mohamed Azmin) ambil tindakan selepas pendedahan saya kalau dia tahu sudah lama tindakan dilakukan.

“Persoalannya, bagaimana boleh tahu sekiranya beliau sendiri tidak pernah mempengerusikan mesyuarat YAWAS,” katanya lagi.

Jamal sebelum ini juga mendesak Timbalan Presiden PKR itu menjawab dakwaan transaksi YAWAS berjumlah RM200 juta yang disalurkan kepada ahli parlimen di Kuala Lumpur sedangkan ia wang rakyat di Selangor.

Pada sidang media yang sama, Jamal juga mendakwa peruntukan kerajaan negeri dilakukan secara pilih kasih dan rakyat yang menyokong Barisan Nasional tidak akan menerima bantuan.

Ia berbeza dengan bantuan kerajaan Pusat seperti BR1M yang disalurkan kepada rakyat tanpa mengira fahaman dan parti politik.

Menurutnya, banyak lagi pendedahan mengenai tujuh produk melalui YAWAS yang diragui dan pihaknya akan mendedahkannya satu persatu selepas ini.-MalaysiaGazette