Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemohon yang gagal mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan mengemukakan penyata pendapatan mahupun penyata akaun bank.

Menurut Kementerian Kewangan, pemohon boleh berbuat demikian dalam tempoh rayuan di mana-mana cawangan LHDN bagi mengesahkan maklumat pendapatan pemohon.

“Merujuk kepada kegagalan permohonan yang berkaitan dengan data pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pemohon boleh membuat permohonan rayuan dengan mengemukakan penyata pendapatan atau penyata akaun bank yang berkaitan kepada LHDN semasa tempoh rayuan bagi mengesahkan maklumat pendapatan pemohon.

“Dimaklumkan juga, pemohon tidak perlu mendapatkan apa-apa pengesahan daripada SSM,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan.

Sebelum ini terdapat rungutan daripada orang ramai yang gagal mendapatkan bantuan berkenaan dikaitkan dengan kegagalan pemohon yang mendaftarkan lesen perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengisytiharkan pendapatan mereka terlebih dahulu menyebabkan permohonan mereka gagal diproses.

“Bagi mereka yang gagal dalam permohonan BR1M 2017, surat dan email pemakluman akan dihantar kepada pemohon yang akan menjelaskan sebab kegagalan dan juga kaedah rayuan.

“Permohonan rayuan boleh dibuat secara percuma di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) termasuk di Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Urban Transformation Centre (UTC) yang terdekat sehingga 31 Mei 2017 dengan mengisi borang rayuan.

“Dan mengemukakan borang tersebut bersama dokumen sokongan yang berkaitan seperti penyata gaji, penyata pendapatan, penyata akaun bank (syarikat atau persendirian) dan salinan kad pengenalan pasangan/tanggungan terkini seperti yang dinyatakan didalam surat/email,” ujar kenyataan tersebut.

Sebelum ini Pengarah Komunikasi Strategik, Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pemohon BR1M yang gagal dalam saringan BR1M perlu hadir ke SSM terlebih dahulu untuk melakukan pengistiharan pendapatan sebelum mengemukakan rayuan untuk BR1M.

Secara keseluruhan, seramai hampir 6,320,769 permohonan telah diluluskan bagi menerima BR1M 2017 yang merangkumi bantuan RM1,200 kepada 3,242,048 penerima isirumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan kebawah.

Bantuan RM900 kepada 291,918 penerima isirumah yang berpendapatan bulanan diantara RM3,001 hingga RM4,000, dan bantuan RM450 kepada 2,786,803 penerima individu yang berpendapatan bulanan RM2,000 dan kebawah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.41 billion. -MalaysiaGazette.