KUALA LUMPUR – DAP sebagai rakan gabungan paling kuat dalam kerajaan negeri Selangor perlu mendesak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggunakan kuasa untuk menggugurkan semua jawatan dipegang pemimpin Pas.

Cadangan itu dilontar MCA Selangor memandangkan DAP penentang kuat Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta 355 yang dibawa Pas, langkah itu perlu diambil bagi menunjukkan ketegasan mereka.

“DAP gabungan kukuh dalam kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan, jadi mereka mempunyai kuasa buat desakan tersebut demi kebaikan semua pihak.

“Pada masa sama, DAP juga harus beri tekanan kepada sekutu mereka iaitu Pas dan Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang agar menarik balik cadangan pindaan akta itu di Parlimen,” katanya Setiausaha MCA Selangor, Datuk Ng Chok Sin.

Semua jawatan itu termasuk sama ada di peringkat negeri mahupun kerajaan tempatan (ahli majlis).

Chok Sin juga mempersoalkan bagaimana Pas masih kekal dalam kerajaan Selangor, walhal Pakatan Harapan sendiri iaitu DAP dan PAN tidak setuju apa dilakukan Pas.

“Jika Pas masih kekal dalam kerajaan Selangor, ini bermakna Pakatan Harapan masih memberi talian hayat kepada mereka.

“Talian hayat ini perlu dimatikan, bahkan DAP kerap dakwa mereka miliki kekuatan politik di Selangor sejak 2008 jadi mereka harus tunjuk kuasa mereka terhadap kedudukan Pas di negeri ini,” katanya.-MalaysiaGazette