Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) mengatakan sesuatu kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika hadir pada Majlis Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Putrajaya. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 08 MAC 2017.

PUTRAJAYA – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) komited dalam memelihara tahap integriti dan disiplin sistem penyampaian penjawat awam daripada dicemari rasuah dan salah guna kuasa.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya bersedia untuk bertindak serius ke arah itu bagi memastikan tahap integriti kementerian terus disanjung tinggi oleh masyarakat yang berurusan langsung dengan kementerian itu.

Bagi tujuan itu, beliau menyatakan kesediaan untuk menyahut saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendraf pelan integriti yang berkesan melibatkan kakitangan awam kementeriannya.

“Saya mengakui walaupun sudah berikrar dan mengangkat sumpah menjaga integriti dan memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam kementerian, ia masih terjadi. Tak gunanya berjanji SPRM tapi tidak dapat mematuhi.

“Saya rasa mungkin kakitangan awam kurang faham mengenai hadiah dan habuan yang boleh menjadi rasuah, memerlukan lebih penjelasan mengenai integriti dan penerangan memahami rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM dilihat menahan ramai penjawat awam dalam kedua-dua isu ini, dan kita tak bolehlah cakap tidak bersalah di mahkamah, sebab itu integriti ini sangat ditekankan dalam kementerian.

“Kita akan komited untuk menyiapkan kakitangan dibawah agensi dan jabatan kementerian ini supaya terus berintegriti dalam tugas harian mereka kepada masyarakat pelbagai lapisan,” katanya semasa berucap di Majlis KKLW bersama SPRM yang dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Operasinya, Datuk Azam Baki di sini.

Ismail Sabri juga menjelaskan pembangunan ekonomi dan keyakinan pelabur untuk membuka pelaburan di nagara ini dipengaruhi integriti dalam memerangi rasuah dan adalah penting untuk memastikan rasuah cegah sebaik mungkin.

Menyentuh mengenai draf intergriti yang disarankan SPRM, Ismail Sabri juga berkata perkara itu akan dibincang secara serius di peringkat kementerian untuk tampil dengan draf tindakan secepat mungkin.

Beliau berkata, perubahan dilakukan diperingkat kementerian melibatkan penukaran 80 peratus kakitangan bermula mereka yang berkhidmat lebih enam tahun dan ke atas melibatkan tiga sektor jawatan sensitif iaitu perolehan, pembangunan dan prasarana.

“Kesemua jabatan sensitif ini akan terus diberi fokus dalam menegakkan tahap integriti kementerian yang sentiasa menjadi agenda utama dan tidak boleh berada dalam golongan tak tahu undang-undang (ingnorance).

“Ramai yang menganggap rasuah dan salah guna kuasa hanya berlaku di jabatan atau agensi kerajaan tetapi tidak terikat dengan anak syarikat, itu tidak betul.

“Walaupun tidak ada dalam agensi atau jabatan, anak syarikat yang berurusan tetap terikat dengan undang-undang rasuah,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette