SALAHUDDIN AYUB

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) mencadangkan kerajaan memohon bantuan Norway sebagai orang tengah dalam mengendalikan krisis antara Malaysia dan Korea Utara.

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub berkata, negara itu mempunyai pengalaman dalam mengendalikan permasalahan antara negara-negara kerana Oslo kerana mengajurkan Hadiah Keamanan Nobel pada setiap tahun.

Malah Norway mempunyai prestij dan pengalaman dan diperakui memiliki segala kemampuan diplomatik yang menjanjikan kemunasabahan kejayaan.

Ini kerana sukar untuk Malaysia bertindak sendirian dalam menyelesaikan krisis yang timbul sejak kematian Kim Jong nam.

“Pemilihan Norway sebagai negara pengantara adalah jalan paling selamat kerana tiada kesan politik dan pengaruh serantau yang memungkinkan Kuala Lumpur terjebak dalam persaingan kuasa besar dunia.

“Sejujurnya, agak sukar Kuala Lumpur bertindak sendirian pada ketika ini. Kita harus melihat dan memilih secara teliti apakah peluang-peluang yang terbaik di hadapan kita bagi memelihara kepentingan negara, khususnya keselamatan rakyat kita yang masih terperangkap di Korea Utara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman, Liu Wei Cheng sebelum ini berkata, China adalah negara yang paling sesuai memainkan peranan orang tengah dalam kemelut diplomasi Kuala Lumpur-Pyongyang kerana mempunyai hubungan antara kedua-dua negara.

Ini kerana katanya Malaysia bimbang untuk mengizinkan campur tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memandangkan badan dunia itu khususnya Majlis Keselamatan dianggotai kuasa-kusa besar.

“Bagi saya, China yang mempunyai hubungan persahabatan dengan Korea Utara adalah lebih sesuai,” katanya lapor Sinchew Daily.

Korea Utara sebelum ini telah mengenakan larangan sementara ke atas semua warga Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

Malah Malaysia turut mengambil pendekatan sama dengan mengarahkan Jabatan Imigresen supaya tidak membenarkan mana-mana pegawai dan kakitangan di Kedutaan Korea Utara keluar dari negara ini.

Sebelum ini, Malaysia bertindak mengusir Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol, dan wakil itu berlepas pulang pada Isnin.

Tindakan itu diambil, antara lain kerana, Kang Chol telah membuat tuduhan liar dan tidak berasas kononnya Malaysia berpakat dengan kuasa asing dalam siasatan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Chol, yang dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Sehingga kini, kesemua 11 rakyat Malaysia yang berada di Pyongyang dilaporkan selamat. – MalaysiaGazette.