Lapangan Terbang Pyongyang, Korea Utara

KUALA LUMPUR – Seramai dua daripada 11 rakyat Malaysia yang disekat oleh Korea Utara didakwa telah meninggalkan negara itu ke Beijing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan kini Stella Lim dan Nyanaprakash Muniandy telah selamat tiba di Beijing.

“Alhamdulillah saya dimaklumkan bahawa 2 rakyat Malaysia di bawah World Food Prog dibenarkan keluar dari Pyongyang. Mereka kini selamat di Beijing,” katanya menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Perdana Menteri berkata, menerusi perbualan telefon dengan Penasihat Kedutaan Malaysia ke Korea Utara, Mohd Nor Azrin menyatakan keluarga dan rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat.

“Saya maklumkan kepada Encik Nor Azrin bahawa kita semua di Malaysia doakan kesejahteraan mereka dan kita sedang usaha bawa mereka pulang,” tambah Najib.

Jelas beliau, Korea Utara telah memberi jaminan keselamatan dan mereka bebas melakukan aktiviti harian, cuma mereka tidak dibenarkan meninggalkan negara tersebut.

Dalam pada itu, Najib meminta masjid-masjid di seluruh negara melakukan solat hajat serta mendoakan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara.

Sementara itu, Reuters turut melaporkan, kedua-dua rakyat Malaysia itu berkhidmat di bawah Program Makanan PBB.

Mereka disekat dari meninggalkan negara berkenaan ketika hubungan diplomatik meruncing antara Kuala Lumpur dan Pyongyang.

Kedua-dua kerajaan bertembung minggu ini selepas mereka mengisytiharkan duta negara terbabit sebagai persona non grata dan mengambil tindakan mengusir.

Langkah diambil selepas 3 minggu bertegang urat ekoran kematian abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur enggan bekerjasama dengan siasatan polis berhubung kes tersebut, selain Pyongyang menolak dakwaan mengaitkan mereka kepada serangan ke atas Jong-nam di klia2 pada 13 Februari lalu. – MalaysiaGazette