Ahmad Maslan
Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Sebarang kemungkinan yang berlaku akibat kemelut dengan Korea Utara tidak akan menjejaskan perdagangan Malaysia di kawasan rantau ASEAN memandangkan jumlah eksport dan import yang kecil dengan negara Komunis tersebut.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berkata, jumlah pelaburan Malaysia dengan Korea Utara terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia dalam Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) iaitu sebanyak RM1.49 trilion.

“Perdagangan kita dengan Korea Utara hanya RM18.9 juta, ia terlalu kecil dan tidak signifikan perdagangan antara Malaysia dengan Korea Utara ini,” kata Ahmad di Dewan Rakyat hari ini.

Daripada jumlah perdagangan itu, jumlah import Malaysia dengan Korea Utara hanya RM8.2 juta, sementara eksport ke Korea Utara pula RM10.7 juta.

“Jadi apa-apa yang berlaku antara Malaysia dengan Korea Utara sebenarnya tidak akan menjejaskan perdagangan kita di kawasan rantau Asean ini,” ujarnya.

Hubungan Malaysia Korea Utara menjadi tegang apabila Pyongyang meluahkan rasa tidak yakin ke atas siasatan yang dijalankan pasukan polis Malaysia berhubung kematian warganya, Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.

Duta Korea Utara, Kang Chol berkata, polis Malaysia mengambil masa yang lama untuk menjalankan siasatan tetapi sehingga kini masih tiada bukti jelas mengenai punca kematian Jong-nam, membuatkan mereka meragui siasatan berkenaan.

Susulan itu, Kementerian Luar mengisytiharkan Kang Chol sebagai persona non grata (individu tidak dikehendaki) dan diarah meninggalkan negara ini.

Terbaharu, Korea Utara tidak membenarkan rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu sejurus pengusiran duta mereka. – MalaysiaGazette