FELDA

KUALA LUMPUR – Felda tidak terlibat dengan penganjuran Konvensyen Felda anjuran Pakatan Harapan yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam.

Malah, agensi itu juga tidak pernah memberi sebarang kebenaran untuk menggunakan nama Felda sebagai tajuk konvensyen tersebut.

Pakatan Harapan akan menganjurkan konvensyen itu pada 19 Mac dengan tajuk ‘Kelangsungan Felda Melalui Pengupayaan dan Pendidikan’.

Pengarah Besar Felda, Hanapi Suhada berkata, penggunaan nama Felda sebagai tajuk konvensyen tersebut akan mengelirukan peneroka dan masyarakat awam amnya.

“Felda memandang berat perkara ini kerana kemungkinan juga terdapat pembentangan-pembentangan yang tidak tepat dan dikhuatiri akan mengganggu gugat keharmonian dan
kesejahteraan masyarakat di rancangan-rancangan Felda.

“Buat pihak-pihak yang bercadang untuk menjadi jaguh kepada masyarakat peneroka, janganlah kerana menang sorak, kampung tergadai dan janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar,” katanya. – MalaysiaGazette