Lokman Noor Adam
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Pekerja-pekerja di negara ini menikmati purata kenaikan gaji sebanyak 7.3 peratus sejak 42 tahun lalu berbanding purata inflasi 3.7 peratus dalam tempoh itu.

Ia adalah dapatan daripada hasil kajian yang dijalankan dua tahun lalu.

Lantaran itu Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam berkata, dakwaan gaji para pekerja di negara ini tidak naik adalah tidak benar sama sekali.

Malah, katanya, dalam tempoh dua tahun lalu, purata kenaikan gaji meningkat kepada 9.0 peratus.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan kejatuhan ringgit menyebabkan nilai mata wang itu semakin kecil, sedangkan harga barang terus meningkat.

“Dulu dengan 30 sen kita boleh nasi lemak, sekarang dengan nilai sama kita dapat sebiji coklat yang kecil.

“Tetapi kita tidak boleh anggap hidup pada hari ini semakin susah. Dulu gaji cikgu RM70 sebulan, sekarang dengan ijazah cikgu menikmati gaji antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan,” katanya kepada MalaysiaGazette,

Menyedari hakikat itu, katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai mekanisma yang terbaik untuk meringankan beban rakyat.

Bagaimanapun, bantuan kerajaan adalah kepada golongan sasaran yang betul melalui pelaksanaan rasionalisasi subsidi.

“Mekanisme ini tidak popular, buktinya kerajaan dan Perdana Menteri dimaki.

“Sedangkan rata-rata rakyat hanya membeli dua kilo gula, ini bermakna kerajaan hanya mengambil 68 sen sahaja. Kalau makcik yang menjual kuih pun dianggarkan menggunakan antara 8 hingga 10 kilogram, yang bermakna mereka hanya bayar RM3.40,” ujarnya.

Lokman berkata, dengan menarik 34 sen sekilogram kerajaan berjaya jimatkan subsidi gula sebanyak RM286 juta seperti mana dibelanjakan pada tahun 2013.

Rakyat tidak tahu selama ini penggunaan gula dalam kalangan rakyat Malaysia kecil sahaja, sebaliknya selama ini sebahagian besar yang menikmati subsidi daripada duit rakyat adalah kilang-kilang coklat, kilang jem, kilang kordial dan kilang minuman berkarbonat.

“Ini termasuk subsidi gula yang digunakan di kilang-kilang arak. Benda-benda ini tidak boleh diteruskan,” ujar beliau.

Wang tambahan daripada penjimatan subsidi gula itulah, kerajaan gunakan untuk kembalikan kepada rakyat, contohnya meningkatkan agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), kata Lokman sambil menyifatkan pelaksanaan BR1M bukan mudah.

Tetapi BR1M berjaya membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah yang dikenali sebagai kelompok B40.

Katanya, meskipun pemberian BR1M dikritik oleh pihak-pihak tertentu di Malaysia tetapi pendekatan itu semakin diiktiraf di kebanyakan negara luar. – MalaysiaGazette