Khaled Nordin

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menghormati penahanan seorang anggota Exco kerajaan negeri oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri berkenaan.

Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri sekali lagi menegaskan akan memberi kerjasama diperlukan oleh pihak berkuasa dan tidak akan mencampuri sebarang proses siasatan yang dijalankan.

“Kerajaan negeri berpendirian adalah penting dan kritikal untuk pihak berkuasa dan proses penguatkuasaan undang-undang berjalan dengan lancar dan bebas.

“Menjadi ikrar dan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan dan pentadbiran Johor bebas daripada sebarang masalah penyelewengan dan korupsi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamed Khaled menyeru seluruh anggota kerajaan negeri dan masyarakat awam untuk memberi kerjasama, selain tidak melihat isu tersebut secara terburu-buru serta beremosi.

Beliau turut meminta semua pihak memfokuskan tugas masing-masing dalam memastikan pengurusan kerajaan negeri tidak terganggu.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri berharap keadilan dan kebenaran akan dicapai oleh semua pihak,” katanya.

Semalam, Exco lelaki berumur 51 tahun dan sedang bercuti daripada tugas rasmi kerajaan negeri sejak 1 Mac sehingga siasatan berhubung rasuah dan penyelewengan hartanah itu selesai, ditahan di pejabat SPRM Johor selepas memberi keterangan berhubung kes penyelewengan hartanah dan rasuah.

Pagi tadi, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru Nur Sulehan Abd Rahman membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman Exco terbabit selama seminggu bermula hari ini sehingga 16 Mac.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki yang dihubungi Bernama semalam, berkata Exco itu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan dan disiasat berkaitan pengubahan wang haram.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

SPRM turut merampas 150 beg tangan pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire dan wang tunai berjumlah RM41,000 hasil geledah di rumah Exco terbabit, di sini semalam, sejurus selepas penahanan dilakukan.

Sebelum ini, SPRM menahan enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas Exco itu pada 24 Feb dan menahan seorang kontraktor lelaki pada 28 Feb setelah dipercayai terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah.

Tiga daripada tujuh individu, iaitu dua pemaju dan seorang kontraktor, dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 3 dan 7 Mac lepas, sementara empat yang lain dibebaskan dengan jaminan SPRM, semalam. – MalaysiaGazette