Othman Aziz

PADANG SERAI – Pakatan pembangkang terutama DAP dilihat terdesak sehingga cuba menanam rasa benci dalam kalangan rakyat demi kelangsungan politik mereka.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, pembangkang kini semakin giat memutar belit kenyataan untuk mencipta kebencian sehingga boleh merosakkan masa depan negara disebabkan cemburu dengan kejayaan Barisan Nasional selama ini.

“Cara termudah pembangkang berpolitik adalah dengan memainkan isu perkauman dan kebencian.

“Untuk itu, rakyat perlu bijak supaya tidak terpengaruh dengan sentimen dan emosi kebencian yang cuba ditanam pembangkang,” katanya ketika berucap pada Ceramah Rakyat-Negaraku Generasiku di Padang Awam Taman Kucai, Lunas malam tadi.

Pada masa sama, beliau meminta penduduk di kawasan parlimen Padang Serai untuk menilai semula sama ada Ahli Parlimen mereka, N. Surendran daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjalankan tugasnya dengan baik dalam menjaga kebajikan
mereka.

Othman berkata, selepas dua kali digantung daripada menghadiri Dewan Rakyat, wakil rakyat itu perlu ditolak pada pilihan raya umum akan datang kerana tidak mampu menjalankan tugas dengan baik demi kepentingan rakyat setempat.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri S K Devamany berkata, negara memerlukan pembangkang untuk mengkritik sekiranya berlaku ketirisan atau ketidakadilan.

“Bagaimanapun, jangan sesekali menafikan kebenaran daripada rakyat serta menghasut sehingga membawa berita palsu yang menimbulkan huru-hara kepada negara.

“Kita menerima kritikan namun perlu berlandaskan fakta di mana sehingga kini kepimpinan Barisan Nasional tidak pernah meminggirkan mana-mana kumpulan,” katanya.

Menurut Devamany, kerajaan juga tidak pernah berhenti untuk merapatkan jurang ekonomi antara orang miskin dan orang kaya serta menyediakan pelbagai peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gerakan Datuk Dr. Cheah Soon Hai yakin DAP akan menggunakan semua cara termasuk menyebarkan fitnah tanpa memikirkan sensitiviti kaum dan agama hanya untuk mendapatkan undi setiap kali tiba pilihan
raya umum.

“Mereka juga sering menyebarkan berita yang tidak tepat atau separuh betul hanya semata-mata mahu menaikkan kemarahan rakyat sehingga membenci kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette