Johari Abdul Ghani (duduk, tengah) melakukan pemeriksaan tekanan darah tinggi pada Festival 'Do It Yourseft' di Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk parti politik di negara ini disyorkan bersatu mengenai isu keselamatan negara, termasuk krisis yang dihadapi negara bersama Korea Utara.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, parti-parti politik di negara ini perlu mengenepikan faktor ideologi politik masing-masing dan bersama-sama kerajaan dalam usaha menyelesaikan kemelut yang dihadapi negara ketika ini.

“Sebenarnya bila soal negara kita kena bersatu sama ada ancaman mana-mana pihak terhadap ekonomi ataupun keselamatan, kita semua kena bersatu.

“Kita boleh berbeza pandangan politik tapi perkara melibatkan keselamatan ini semua kena bersatu padu,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette dalam satu acara di ibu negara hari ini.

Abdul Ghani yang juga Menteri Kewangan II berkata, krisis yang dihadapi negara kini patut dijadikan alat untuk menyatupadukan masyarakat dan parti politik biarpun mereka berbeza pendapat.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu pemimpin kerajaan dan pembangkang bersatu memberi soko­ngan penuh terhadap segala usaha yang sedang dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Sekiranya kita bersatu-padu ketika menghadapi sebarang masalah atau ancaman, musuh dari luar tidak akan mampu meruntuhkan segala yang kita bina selama ini.

“Insya-Allah, kita diberi hidayah dan petunjuk Allah yang Maha Kuasa sekali lagi untuk mengembalikan rakyat Malaysia di Korea Utara dengan selamat dan merungkai segala persoalan mengenai pembunuhan yang berlaku di tanah air kita ini,” katanya menerusi rakaman audio di laman blog najibrazak.com semalam.

Menurut Najib, isu ketegangan diplomatik antara Malaysia dengan Korea Utara bukanlah melibatkan krisis antarabangsa pertama dihadapi negara, sebaliknya Malaysia sebelum ini pernah berhadapan beberapa saat getir membabitkan kuasa asing.

Malah katanya, krisis seperti MH370, MH17 dan pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah telah membuktikan Malaysia berpengalaman dalam menangani isu berkaitan kuasa asing yang rumit.

Pas umpamanya sebelum ini lantang mengkritik tindakan tidak beretika dan di luar dari kaedah diplomatik antarabangsa yang dilakukan oleh pentadbiran kerajaan Korea Utara dengan menahan kakitangan Kedutaan Malaysia yang bertugas di negara itu pada masa ini – MalaysiaGazette