Hishamuddin Hussein

MUAR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein percaya siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas seorang exco Johor baru-baru ini, tidak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap parti dan juga kepimpinan kerajaan negeri.

Ini kerana menurut beliau, siasatan itu secara prinsipnya hanya akan menambah baik integriti dan urus tadbir kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Saya percaya rakyat akan terima dan menghormatinya serta lebih menyokong parti. Ini kerana kalau salah, tetap salah tidak kira siapa yang membawanya. Parti lain pun, jangan ingat mereka terkecuali daripada siasatan,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian sebagai mengulas isu penahanan exco terbabit bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Persidangan Kelompok UMNO Bahagian Muar dan Penyerahan Kit Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di Dewan Tun Sulaiman Ninam Shah, hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, sebagai sahabat yang telah lama mengenali exco itu, beliau turut bersedih dengan berita penahanan tersebut.

Namun, beliau mahu konsisten dalam hal berkenaan kerana setiap individu, katanya, tidak boleh melebihi daripada undang-undang.

“Cuma, saya berharap ketika siasatan sedang dilakukan, janganlah kita terlalu awal menghukum mereka yang sedang disiasat.

“Jangan kita menghukum melalui media kerana mereka juga mempunyai keluarga dan mungkin ada perkara yang belum mendapat penjelasan sebenarnya,” katanya.

Pada 24 dan 28 Februari lalu, SPRM menahan tujuh lelaki termasuk anak dan pegawai khas exco terbabit kerana dipercayai terlibat dengan skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Kesemua mereka yang berumur antara 25 dan 50 tahun bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM pada awal bulan ini.

Exco itu pula mengumumkan bercuti daripada jawatan yang disandangnya dalam Kabinet negeri bagi membantu siasatan sebelum ditahan pada 9 Mac lepas. -MalaysiaGazette.