Ahmad Zahid Hamidi. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Malaysia masih belum menerima tuntutan rasmi daripada waris mendiang Kim Jong-nam untuk membawa balik mayat selepas sebulan kes pembunuhan itu menggemparkan dunia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya terdapat tuntutan, beberapa proses perlu dilalui oleh pihak yang membuat tuntutan dengan melalui proses mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Peguam Negara sebelum ia diserahkan.

“Setakat ini tidak ada tuntutan rasmi daripada waris Kim Jong-nam, namun jika ada permintaan daripada keluarga mereka beberapa pendekatan akan dilakukan.

“Kita akan terus mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Peguam Negara bagi kita serahkan jenazah berkenaan kepada waris Kim Jong-nam jika tuntutan itu dikemukakan melalui Kementerian Luar atau Wisma Putra,” kata beliau semasa ditemui selepas Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang berlangsung di PWTC hari ini.

Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong-un mati dibunuh selepas dua wanita menghampirinya dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang telah disembur dengan cecair beracun di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2).

Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari dan menggunakan pasport yang tertera nama Kim Chol.

Kes pembunuhan tersebut menyebabkan hubungan Malaysia dengan Korea Utara tegang susulan pertikaian mengenai pihak berhak menuntut mayat mendiang.

Mengulas mengenai sembilan lagi rakyat Malaysia yang kini tidak dibenar meninggalkan Korea Utara, Ahmad Zahid berkata, rundingan sedang berjalan dan keutamaan diberikan bagi membawa mereka balik ke negara dengan secepat mungkin.

“Rundingan dengan pihak Korea Utara sedang berjalan ketika ini dan pada hemat saya, keutamaan kita adalah terhadap keselamatan sembilan warganegara Malaysia di Pyongyang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mengesahkan masih terdapat 315 rakyat Korea Utara yang permit kerja mereka sudah tamat masih berada di Malaysia ketika ini dan kerajaan akan memutuskan tindakan selanjutnya dalam masa terdekat.

Terdahulu, 11 rakyat Malaysia tidak dibenarkan meninggalkan Korea Utara bagaimanapun dua daripadanya yang bertugas sebagai sukarelawan program bantuan makanan sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meninggalkan negara itu pada 9 Mac. – MalaysiaGazette