Dzulkifli Ahmad, Muhammad Ibrahim dan Sabin Samitah bergambar selepas mesyuarat kerjasama strategik.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan meningkatkan kerjasama strategik dalam usaha mencegah jenayah kewangan, rasuah dan pengelakan pada cukai.

Kerjasama ini telah diputuskan melalui mesyuarat yang diadakan antara Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Sabin Samitah pada hari ini

BNM dalam kenyataannya berkata, usaha yang diambil oleh ketiga-tiga agensi ini bertujuan mengukuhkan kerjasama strategik untuk mengekang jenayah kewangan, terutamanya yang melibatkan rasuah dan pengelakan pada cukai.

Ketiga-tiga agensi menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memastikan institusi kewangan tidak dijadikan saluran untuk menyalurkan hasil yang diperoleh daripada jenayah kewangan.

Muhammad yang menyambut baik usaha itu berkata, kerjasama ketiga-tiga agensi ini akan membendung penyaluran hasil perolehan wang haram dan transaksi haram melalui sistem kewangan.

Perkara ini penting bagi mengekalkan integriti dan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan Malaysia, katanya.

Dzulkifli pula berkata, kerjasama ini membolehkan ketiga-tiga agensi bertukar-tukar maklumat berhubung dengan siasatan serta memperkukuh amalan terbaik setiap agensi memandangkan masing-masing mempunyai cabaran tersendiri untuk membanteras jenayah kewangan, rasuah dan pengelakan pada cukai.

Samitah berkata, kerjasama strategik ini merupakan langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan ketirisan cukai akibat jenayah kewangan.

Sinergi daripada gabungan dan kerjasama antara ketiga-tiga agensi akan memperkukuh sistem kewangan dan meningkatkan hasil pendapatan negara serta membina negara yang bebas daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa, tambahnya. – MalaysiaGazette