Shaiful Hazizy PRU
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

ALOR SETAR – Pejabat Menteri Besar Kedah menafikan pihaknya pernah mengeluarkan senarai calon untuk pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menganggap penyebaran senarai nama itu sekadar sensasi sesetengah pihak yang cuba mencipta kekalutan.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa penyebaran senarai ini ada penglibatan parti pembangkang yang mahu menimbulkan syak dan curiga dalam kalangan jentera parti.

“Namun saya amat yakin penyebaran senarai ini tidak akan sama sekali menggoyah perpaduan dan fokus parti bagi menghadapi pilihanraya yg akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, Shaiful Hazizy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah memohon agar jentera parti tidak perlu melayan perkara-perkara sseperti itu.

“Hakikatnya semua pihak harus yakin bahawa UMNO adalah parti yang mempunyai sistem dan tatacara dalam menentukan apa jua keputusan termasuklah didalam proses penentuan calon.

“Penghantaran senarai yang sebegini (calon PRU) penting dan sudah tentunya tidak akan menggunakan applikasi WhatsApp,” tegasnya.

Terdahulu dalam penyebaran senarai nama PRU itu ada enam muka baharu dicalonkan termasuk Shaiful Hazizy di Parlimen Merbok.-MalaysiaGazete