Rosmah Mansor (kiri) mengiringi Megawati Soekarnoputri ke majlis perasmian Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan! di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2017.

KUALA LUMPUR- Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melahir rasa terkejut apabila dimaklumkan mengenai hasil kajian dan siasatan terhadap penderaan seksual terhadap kanak-kanak di negara ini.

Beliau yang merupakan Penaung Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan! turut mendedahkan rasa begitu terkesan setelah diberi taklimat oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Januari lalu.

“Apabila mendengar taklimat itu, saya berasa amat terkejut dan begitu terkesan kerana semakin hari jumlah kanak-kanak yang menjadi mangsa semakin tinggi.

“Saya turut dimaklumkan penjenayah seksual kanak-kanak ini mempunyai perancangan dan modus operandi yang begitu teliti dan terancang sehingga mereka berjaya melakukan jenayah tersebut secara meluas.

“Yang membimbangkan, baru-baru ini negara kita digemparkan dengan pedofilia warganegara Britain yang telah melakukan penderaan seksual kepada 200 kanak-kanak Malaysia yang berusia di antara enam hingga 12 tahun.

“Kebanyakan mangsa merupakan kanak-kanak gelandangan dan kurang berkemampuan dari sekitar Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap pada Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan! di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Majlis perasmian seminar dua hari itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir, bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri dan barisan Menteri Kabinet.

Mengulas lanjut, Rosmah menjelaskan, sama ada sedar atau tidak, kes-kes jenayah seksual kanak-kanak semakin meruncing dan membimbangkan.

Tegas beliau, statistik Polis Di-Raja Malaysia sehingga Oktober menunjukkan sebanyak 12,025 kes pelbagai jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dilaporkan.

“Namun, jumlah kes tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah sebenar.

“Ini kerana dalam kebanyakan kes, laporan polis tidak dibuat kerana mangsa atau ahli keluarga mahu menjaga nama baik dan maruah keluarga.

“Ini menunjukkan kanak-kanak baik perempuan mahupun lelaki semakin terdedah kepada bahaya penderaan seksual.

“Di samping itu, kepesatan teknologi melalui internet dan media sosial telah menyumbang ke arah peningkatan jenayah seksual kanak-kanak,” katanya.

Rosmah berkata sebagai ibu, beliau berharap agar seminar itu menjadi langkah permulaan dalam usaha menangani, membasmi dan seterusnya menghentikan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Jelas beliau, ini kerana kanak-kanak adalah aset negara yang paling bernilai bagi memastikan kesinambungan pembangunan pada masa akan datang.

“Justeru sudah tiba masanya untuk setiap pihak melihat secara serius isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak di negara kita.

“Adalah menjadi harapan saya agar keselamatan kanak-kanak di negara ini khasnya sentiasa terjamin.

“Pada masa sama, melalui penganjuran seminar ini, ia akan meningkatkan kesedaran masyarakat seterusnya membantu kerajaan dalam membawa perubahan legislatif bagi mencegah jenayah seksual kanak-kanak,” katanya.

Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak:Hentikan! yang berakhir esok turut mendapat penglibatan selebriti tanah air antara Lisa Surihani, Fahrin Ahmad, Harith Iskandar, Daphne Iking dan Hunny Madu. – MalaysiaGazette