SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 penguat kuasa daripada pelbagai agensi penguatkuasaan kerana disyaki terlibat dengan rasuah di dua lokasi di Selangor dan satu di sini.

Mereka yang ditahan dalam operasi khas SPRM merupakan dua pegawai polis berpangkat Inspektor yang juga ketua balai polis, lima anggota polis, empat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat serta seorang pegawai Majlis Perbandaran
Kajang.

Menurut sumber, kesemua mereka ditahan SPRM Selangor pada pukul 9 pagi di sekitar Kajang, Sungai Buloh dan Kampung Pandan.

Sumber itu menjelaskan risikan SPRM selama hampir tiga bulan mendapati kesemua mereka menerima rasuah secara bulanan daripada pengusaha premis urut yang beroperasi secara haram di dua daerah di Selangor.

“Mereka ini diamanahkan mengambil tindakan terhadap pengusaha premis yang melanggar undang-undang.

“Sebaliknya mereka telah menyalahgunakan kuasa dengan menerima rasuah bagi melindungi premis yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen, menggaji pendatang tanpa izin dan melanggar aspek keselamatan kebakaran,”
katanya kepada Bernama hari ini.