Muhyiddin Yassin UKSB Home Minister
Tan Sri Muhyiddin Yassin

PETALING JAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kononnya beliau menyokong cadangan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, kenyataan Tuan Ibrahim tidak tepat dan beliau sendiri tidak tahu format terakhir usul berkenaan.

“Kenyataan Tuan Ibrahim tak berapa tepat. Kita nak lihat keadaan, tapi sesetengah pihak andaikan kita dah setuju.

“Macam mana nak setuju kalau tak jelas. Kalau ikut cadangan Marang ada beberapa perkara pokok yang dibentangkan perlu diteliti. Soal pokok, apakah kerajaan atau Abdul Hadi sendiri yang akan bawa usul ini.

“Ada proses teknikal yang tidak jelas dan tak boleh buat satu komitmen awal-awal kerana bukan perkara kecil. Kena waktu sesuai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM di sini hari ini.

Dalam pada itu Muhyiddin menjelaskan, beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan ketika ini kerana usul berkenaan masih belum dibahaskan di Parlimen.

Terdahulu, Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan memberitahu, Ahli Parlimen Pagoh menyokong cadangan pindaan RUU Akta Mahkamah Syariah.

Tuan Ibrahim mendakwa, Muhyiddin dalam sutu mesyuarat bersama Pas menyatakan beliau akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam isu yang berbangkit di Dewan Rakyat termasuk isu yang dikenali sebagai RUU 355 itu. – MalaysiaGazette