Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu permohonan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menyoal siasat Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad adalah tidak relevan dengan saman fitnah yang difailkan ke atas Tengku Sharifuddin.

Peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili Tengku Sharifuddin berkata, permohonan untuk menyemak dan mengesahkan fakta-fakta yang nyatakan oleh anak guamnya bukan satu keperluan dalam saman dan ia dilakukan dengan niat untuk melengahkan perbicaraan.

“Plaintif (Mukhriz) tidak memilih untuk mengemukakan soalan bertulis sebelum penggulungan hujah yang boleh dilakukannya. Tetapi plaintif memfailkan permohonan pada 2 September 2016, dua bulan selepas penggulungan hujah,” kata beliau semasa berhujah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mukhriz berkata, soalan bertulis itu adalah relevan untuk memastikan penghakiman yang adil dan saksama sebelum perkara itu diputuskan dalam perbicaraan.

Beliau berkata, soalan bertulis itu didraf susulan kenyataan defendan dan/atau dakwaan dalam kenyataan pembelaan bertarikh 13 Jun 2016 yang memerlukan penjelasan lanjut mengenai kesahihan fakta.

“Kenyataan pembelaan mengandungi dakwaan berhubung plaintif yang bukan dalam pengetahuan plaintif pada masa itu,” kata beliau.

Mahkamah menetapkan 6 April untuk membuat keputusan mengenai permohonan Mukhriz.

Mukhriz, 51, memfailkan saman itu pada 3 Mei tahun lepas kerana mendakwa Tengku Sharifuddin telah mengeluarkan empat kenyataan berbuar fitnah terhadapnya pada 15, 20,23 dan 26 April.

Kenyataan-kenyataan itu dikeluarkan di bawah tajuk, “Prime Minister’s Press Secretary Statement on Donation Confirmation by Saudi Arabian Foreign Minister”, “Prime Minister’s Press Secretary Statement on Former DPM’s Reuters Interview”, “Mukhriz Mahathir Statement: Response by Prime Minister’s Press Secretary”, dan “Prime Minister’s Press Secretary Statement on Tun Mahathir Mohamad and Mukhriz Mahathir”.

Mukhriz dalam writ samannya mendakwa kenyataan itu membawa maksud bahawa Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkomplot dalam kempen berniat jahat untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dan bahawa beliau terlibat secara langsung dalam komplot antara Dr Mahathir dan Muhyiddin.

Tengku Sharifuddin dalam kenyataan pembelaannya menafikan bahawa keempat-empat kenyataan itu telah meremehkan Mukhriz dan menegaskan bahawa kenyataan itu adalah untuk menjelaskan dan menangkis tuduhan palsu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, beliau mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk membela Perdana Menteri dan menangkis tuduhan palsu supaya rakyat mendapat gambaran dan fakta yang tepat yang sengaja diputarbelit oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan politik. – MalaysiaGazette