TOKYO – Harga minyak dunia melonjak lebih daripada 2.0 peratus dalam dagangan awal Asia, pulih daripada paras rendah tiga bulan selepas data industri menunjukkan kejatuhan stok penimbal minyak mentah Amerika Syarikat.

Kenaikan harga itu juga dipacu oleh penilaian positif Goldman Sachs tentang pematuhan pengurangan pengeluaran minyak oleh OPEC.

Dagangan West Texas Intermediate naik 1.5 peratus kepada AS$48.42 setong pada 0036 GMT, selepas naik lebih AS$1 kepada AS$48.87 sebelumnya.

Kenaikan itu selepas kontrak jatuh bagi sesi ketujuh,  penurunan terpanjang sejak Januari tahun lalu.

Niaga hadapan Brent pula naik 1.2 peratus kepada AS$51.52 setelah jatuh ketika ditutup kepada AS$50.92. Penutup terendah sejak bulan November.

Stok minyak mentah Amerika Syarikat jatuh sebanyak 531,000 tong pada minggu lalu, kata Institut Petroleum Amerika.

Ia adalah perbandingan terhadap jangkaan penganalisis kenaikan 3.7 juta tong.

Jika penurunan itu disahkan oleh data kerajaan, ia merupakan penyusutan selepas lonjakan sembilan kali berturut-turut. – MalaysiaGazette