Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini menafikan telah mengeluarkan senarai calon-calon untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seperti yang disebarkan kepada penduduk di negeri itu.

Setiausaha Agung parti itu, Loretto S. Padua Jr menegaskan, senarai tersebut bukanlah datang daripada pihaknya kerana mustahil ia disebarkan sebelum Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan.

“Soal siapa yang akan diletakkan sebagai calon disatu-satu kawasan baik Parlimen atau pun Dewan Undangan Negeri adalah dibawah kuasa presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Loretto percaya perbuatan itu dilakukan oleh pihak-pihak yang rasa tercabar dengan penerimaan rakyat terhadap Parti Warisan.

“Mungkin ini adalah satu-satunya langkah yang boleh mereka gunakan untuk cuba mengelirukan serta memecah belahkan parti,” dakwanya.

Justeru, Parti Warisan meminta agar penyokong-penyokongnya di Sabah bersabar.

“Saya percaya yang rakyat serta penyokong-penyokong Parti Warisan sekarang ini sudah bijak menilai dan tidak akan terperangkap dengan mainan politik pihak lawan. Jangan percaya dengan Khabar angin yang hanya bertujuan untuk mengelirukan serta memecah belahkan parti,” katanya lagi.-MalaysiaGazette