S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan susulan dalam mengendalikan pengurusan mayat Kim Jong-nam berdasarkan arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, ini kerana kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes melibatkan undang-undang perubatan.

Kementerian Kesihatan sebelum ini menerima mayat abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong un selepas pihak polis untuk urusan seterusnya kerana tidak ada waris yang menuntutnya setakat ini.

“Arahan yang diterima Kementerian Kesihatan adalah untuk menunggu apa-apa informasi daripada PDRM kerana ia melibatkan kes undang-undang perubatan. Kita akan ikut apa-apa keputusan daripada polis.

“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri) sudah katakan identiti mayat sudah dikenalpasti dan telah jalani proses pengecaman DNA.

“Jadi, kini kita hanya menunggu kehadiran waris mayat untuk proses pengecaman dan boleh menuntut mayat,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Pada Isnin lalu, Kementerian Kesihatan belum memutuskan sebarang tindakan bagi pengurusan mayat Jong Nam, warga Korea Utara yang dibunuh di negara ini.

Jelasnya lagi, sebarang arahan untuk proses menuntut mayat boleh dilakukan sekiranya waris Jong nam tampil untuk berbuat demikian.

“Ia bergantung kepada apa arahan (daripada waris). Kalaulah betul ada ahli keluarga memberikan arahan untuk menentukan apa yang perlu dilakukan dan kami akan mengikuti arahan keluarga atau memaklumkan kepada polis,” katanya lagi.

Ahad lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan mayat Jong-nam diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk urusan seterusnya kerana tidak ada waris yang menuntutnya setakat ini. -MalaysiaGazette.