Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi foto MOHD HAZROL ZAINAL

PUTRAJAYA – Malaysia mendesak Myanmar supaya menghentikan segera penindasan terhadap etnik Rohingya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara itu juga perlu membuktikan kepada ASEAN bahawa mereka boleh menerima golongan minoriti itu sebagai warganegaranya.

Berdasarkan sejarah ASEAN, katanya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang melindungi Myanmar ketika negara itu bersendirian dan berjuang untuk kemasukannya ke dalam ASEAN.

“Bagaimanapun, kita amat sedih dengan apa yang berlaku kepada Rohingya di Rakhine. Apa yang mereka lakukan kepada masyarakat Islam di Myanmar benar-benar tidak boleh diterima.

“Saya percaya tindakan membakar, membunuh hidup-hidup dan keganasan terhadap manusia ini tidak tertulis dalam mana-mana agama.

“Myanmar sepatutnya tahu tindakan mereka amat berbahaya kerana membangkit dan mencetuskan perasaan masyarakat Islam di seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Mengenai Rohingya 2017 di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut berkata, Myanmar tidak mempedulikan mesej diplomatik daripada Malaysia yang meminta mereka menghentikan keganasan itu.

Jelas beliau, Myanmar melalui ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi perlu membuktikan segera kepada komuniti ASEAN bahawa mereka juga berjiwa besar.

“Mereka meminta negara ASEAN tidak mencampuri urusan politik dalaman mereka tetapi ini bukan untuk mencampuri, ini adalah keprihatinan kepada saudara kita di Myanmar,” katanya.

Persidangan selama tiga hari itu turut mencapai 14 resolusi bagi membantu etnik Rohingya di negara berkenaan.-MalaysiaGazette