GEORGE TOWN – Restoran nasi kandar Line Clear di Jalan Penang di sini kembali beroperasi hari ini selepas ditutup sejak Isnin lepas berikutan tidak menepati tahap kebersihan yang ditetapkan.
Pengusaha restoran terkenal itu, Sahubar Mohd Ali turut memohon maaf kepada pelanggan dan semua pihak atas kecuaian dan masalah yang berlaku.
“Perniagaan kami agak terjejas (akibat penutupan itu),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Restoran itu dikatakan mengalami kerugian hampir RM10,000 akibat penutupan selama tiga hari itu.
Isnin lepas, restoran nasi kandar yang terkenal di kalangan pelancong itu adalah antara dua restoran yang diarah tutup selama dua minggu selepas gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk M. Sukumar berkata pihaknya akan menjalankan pemeriksaan terhadap premis makanan secara berkala di negeri ini bagi mematuhi peraturan Perundangan Makanan Malaysia.
Operasi oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dan Pejabat Kesihatan Daerah pada 11 dan 13 Mac lepas mensasarkan restoran dan kedai makan yang menjadi tumpuan orang ramai di negeri ini.
Beliau berkata daripada 83 premis makanan yang diperiksa, tujuh premis dikenakan tindakan penutupan selama 14 hari dan 46 notis kompaun dikeluarkan kepada premis makanan yang didapati tahap kebersihan tidak memuaskan.
“Adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis makanan untuk memastikan premis makanan mereka bersih pada setiap masa,” katanya dalam kenyataan di sini.
















