JAKARTA – Seorang lelaki warga Indonesia yang menyiarkan tindakannya membunuh diri di Facebook telah mengejutkan netizens, menyebabkan kerajaan meminta platform sosial media itu menarik balik kandungan tersebut.

“Selepas menerima laporan daripada orang ramai, kita menggesa Facebook untuk menarik semula kandungan serta-merta,” Samuel Abrijani Pangerapan, Ketua Pengarah Aplikasi Maklumat di Kementerian Komunikasi dan Maklumat.

Kejadian bunuh diri itu telah disiarkan secara langsung di Facebook pada pukul 9 pagi semalam dengan menggunakan selendang untuk menggantung dirinya.

Facebook menarik balik siaran langsung itu pada pukul 8.30 malam pada hari yang sama selepas ia menular di media sosial.

Dalam akaun Facebooknya, Indra menulis, “Saya sangat suka dia tetapi dia meninggalkan saya dan anak-anak.

“Saya tidak tahu di mana dia pergi. Terlalu sukar untuk mengatakan apa yang telah berlaku. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya dalam keadaan yang benar-benar teruk. ”

Video yang satu jam 45 minit itu tersebar luas dan mudah diakses oleh pengguna Internet.

Kandungan itu telah dilihat lebih 100,000 kali selepas12 jam di media sosial.

Samuel mengingatkan pengguna Internet bahawa mereka boleh didakwa di bawah Undang-undang Maklumat dan Transaksi Elektronik kerana menyebarkan bahan itu.

“Kita perlu menjadi lebih prihatin tentang menyebarkan bahan yang ganas itu,” tegas Samuel. – MalaysiaGazette