Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak diiringi Pengasas & Pengerusi 1MCC, Datuk Chan Tien Chee (dua dari kiri) serta yang lain melakukan gimik pelancaran Liga 1MCC di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. foto SAFWAN MANSOR, 19 MAC 2017

SERDANG – Pendekatan secara holistik di atas padang mampu membentuk jati diri golongan belia untuk menjadi insan yang seimbang kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, ia merupakan antara aspek penting dalam pembangunan negara dan individu untuk mencapai potensi dan keperibadian yang tinggi.

“Saya menyeru kepada semua belia agar sedar akan kepentingan untuk mencapai potensi keperibadian tertinggi anda.

“Anda perlu menggunakan platform ini untuk membangunkan jati diri dan terus memperbaiki diri anda. Ini adalah asas kepada pembentukan perwatakan dan keperibadian yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak sempena Majlis Penyempurnaan Pelancaran Liga 1MCC di Univerisiti Putra Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Najib berkata, untuk mencapai objektif menjadi negara maju dan mempunyai masyarakat yang bersahsiah tinggi misi menggunakan sukan terutamanya bola sepak boleh dijadikan sebagai pemangkin untuk membangunkan belia.

Katanya, belia diberi peluang merangkumi semua agar mencapai kejayaan yang berterusan.

Pada majlis pelancaran itu sebanyak 12 kumpulan yang terdiri daripada golongan remaja dan belia akan berentap dalam perlawanan bola sepak anjuran 1MCC Sports Sdn Bhd (1MCC).

Program yang dipanggil 1MCC (1Malaysia Connecting Communities) itu menjadi penghubung masyarakat dalam membantu membangunkan potensi sebenar belia sebagai generasi akan datang dan memartabatkan maruah negara pada masa depan.

Bercakap mengenai program berkenaan Najib turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjadikan liga bola sepak sebagai satu platform untuk meningkatkan kemahiran pemain dan seterusnya mutu bola sepak negara.

“Teruskan menyokong 1MCC kerana semua program dibina dan dirancang untuk memberi faedah kepada masyarakat dan negara kita.

“Mudah-mudahan dengan menunjukkan sikap yang positif dan semangat yang gigih, Insya-Allah kita akan berjaya dalam sukan bola sepak dan berjaya sebagai anak Malaysia,” ujarnya.