Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Tiada gunanya Datuk Seri Abdul Hadi Awang memegang jawatan presiden parti sekiranya beliau tidak menyatakan pendirian muktamad mengenai kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Naib Presiden Pas Idris Ahmad sehubungan itu berkata, kenyataan Abdul Hadi semalam bahawa Pas menutup pintu rundingan dengan PPBM selepas parti baru itu bersetuju menyertai Pakatan Harapan (PH) mesti diambil sebagai pandangan pemimpin tertinggi Pas.

“Presiden mesti sudah ada pendirian dalam kepimpinan dia selaku Presiden parti. Kalau tidak apa guna jadi Presiden.

“Pandangan beliau kita kena ambil sebagai pandangan pimpinan tertinggi, nanti Presiden akan beri taklimat kepada kita (dan ahli akar umbi),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas kawasan Titiwangsa kali ke 32 hari ini.

Di Cyberjaya semalam Hadi membuat kenyataan bahawa parti itu tidak lagi akan mengadakan sebarang rundingan dengan PPBM di masa akan datang.

Sebelum ini Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan Pas menganggap partinya tidak ada lagi hubungan dengan PPBM jika parti berkenaan menyertai PH.

Sementara Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan pula berkata, Pas akan meneliti kembali rundingannya bersama PPBM sekiranya parti baru itu sah menyertai PH.

“Saya rujuk kepada kenyataan Presiden semalam. Kita kena pakai kenyataan Presiden. Tidak ada percanggahan.

“Sebagai prinsip kita apa yang dikeluarkan oleh presiden ada kelebihan, tidak perlu kita pertikaikan. Sebab keputusan muktamad adalah di tangan Pas Pusat,” ujar Ahli Parlimen Bukit Gantang itu.

Menurutnya lagi keputusan mengenai itu hanya akan ditentukan dalam mesyuarat bulan depan.

Dalam sidang media Selasa lalu, PPBM secara rasmi mengumumkan bersetuju menyertai PH dengan mencadangkan pengubahsuaian nama pakatan itu.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata selain nama gabungan yang baru, PPBM juga bersetuju dengan prinsip bahawa satu logo dan manifesto baharu perlu diwujudkan bagi menentang BN pada pilihan raya umum. -MalaysiaGazette.