Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab supaya menghentikan tindakan ‘sabotaj ekonomi’ negara demi kepentingan negara kerana ia hanya merugikan masa depan negara dan rakyat.

Najib berkata walaupun wujud perbezaan politik, ia tidak wajar dijadikan alasan untuk memburukkan negara dan mempertaruhkan masa depan negara demi politik kepartian semata-mata.

“Walaupun kita ada berbeza pendapat politik tetapi kepentingan negara tidak seharusya dijadikan pertaruhan dalam soal politik kepartian, ini amat penting sebab kepentingan negara sepatutnya mengatasi segala-galanya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berhubung sentimen yang menjadi punca kepada persepsi buruk terhadap negara.

Najib juga merayu supaya tindakan sabotaj itu dihentikan dan membangkitkan mengenai isu pelaburan Aramco dimana ia hampir tidak berlakuĀ ekoran tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu memburukkan negara.

“Saya merayu jangan ada unsur-unsur sedemikian sebagaimana saya nyatakan baru-baru ini kita hampir hilang pelaburan Aramco bernilai RM31 bilion ringgit oleh kerana fakta yang tak betul sama sekali yang disebarkan pihak tertentu tapi kita berjaya yakinkan mereka.

“Saya berharap apa yang dianggap sabotaj ekonomi harus dihentikan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara,” kata Najib lagi.

Terdahulu, Najib mendedahkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang membawa maklumat salah kepada kerajaan Arab Saudi untuk menggagalkan pelaburan ke negara.

Dalam pada itu, menjawab menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad mengenai tindakan terhadap penyebar kepada sabotaj ekonomi, Najib berkata negara akan memberi gambaran yang lebih tepat dengan harapan gambaran itu diterima dan dipercayai oleh pihak yang lain.

“Kita akan tingkatkan lagi engagement kita kepada pihak luaran terutamanya mereka yang menentukan soal pelaburan, soal perdagangan dan mereka yang mempunyai dana yang besar seperti tabung pencen dan pelaburan bank supaya mereka mengetahui keadaan sebenarnya mengenai ekonomi negara kita,” katanya.

Bulan lalu, Saudi Aramco dan Pertronas memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM31 bilion pada 28 Februari lepas.

Di bawah perjanjian itu, Saudi Aramco, syarikat petroleum dan gas asli nasional Arab Saudi, akan membangunkan dan menguruskan loji penapisan minyak di Pengerang (Johor), di bawah projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid). – MalaysiaGazette