Tan Sri Khalid Abu Bakar

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah yang dilarikan ke Batam, Indonesia pertengahan bulan lalu berjaya diselamatkan dan kembali ke pangkuan keluarganya di sini semalam.

Kejayaan menyelesaikan kes penculikan suri rumah itu adalah hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pihak berkuasa Singapura dan Indonesia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, hasil kerjasama itu juga, seramai 18 suspek berusia antara 18 tahun hingga 50an berjaya ditahan di beberap lokasi di sini dan Batam.

“Hasil siasatan awal mendapati, suri rumah itu dipercayai diculik di rumahnya kira-kira 3.30 pagi pada pertengahan bulan lalu sebelum dia dilarikan ke Batam dan dikurung di sebuah rumah ladang,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Penamahbaikan dan Perluasan Sistem Pusat Unit Risikan Jenayah di sini.

Khalid berkata, hasil siasatan juga mendapati, penjenayah tidak menghubungi keluarga mangsa hampir dua minggu sebelum meminta sejumlah wang tebusan.

“Hasil tindakan lanjut, kita berjaya menyelamatkan mangsa tanpa dicederakan,” katanya. – MalaysiaGazette