Annuar Musa

KUALA LUMPUR – “Saya cabar untuk Kit Siang saman saya. Sekali lagi saya ulang bahawa Kit Siang anti Islam, DAP parti rasis dan juga diktator. Perdana Menteri kita sudah silih berganti tetapi pucuk kepimpinan DAP masih lagi dikawal oleh dinasti Lim,”

Itu cabaran Ketua Penerangan UMNO,  Tan Sri Annuar Musa kepada Penasihat DAP,  Lim Kit Siang agar mengemukakan saman terhadap dirinya yang mendakwa DAP sebuah parti anti Islam.

Beliau mengulangi cabaran itu dalam satu ceramahnya pada Majlis Penerangan dan Pemantapan Ilmu Pejuang Melayu anjuran UMNO Bahagian Gombak malam tadi.

Malah dalam satu ceramah semalam, Annuar turut mengulangi kata-katanya bahawa berkata DAP adalah sebuah parti diktator dan rasis.

“Kenapa UMNO takut untuk menyerang? Mana tokoh-tokoh perjuangan UMNO? Ini tanah air kita maka kita perlu bersatu untuk membela bangsa dan negara,” katanya.

Annuar sebelum ini pernah menyuarakan perkara itu di dalam Dewan Rakyat dan kini dakwaan itu diulang diluar Parlimen dan sekiranya Kit Siang merasakan dakwaan itu fitnah, beliau mahu veteran DAP itu segera mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Sebelum ini,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki turut melabelkan Kit Siang sebagai anti-Islam selepas melakukan hasutan terhadap pemimpin kanan BN yang bukan muslim menentang usul pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355.

Menurut Asyraf, tindakan Ahli Parlimen Gelang Patah itu jelas menonjolkan DAP sebagai sebuah parti yang rasis kepada rakyat Malaysia beragama Islam.

Kit Siang pernah membuat desakan kepada beberapa pemimpin kanan parti komponen BN bukan Islam supaya meletak jawatan jika usul hudud dibahas dan seterusnya proses pengundian di parlimen.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan Kit Siang menggunakan taktik kotor semata-mata mengalihkan perhatian terhadap pendirian sebenar parti Amanah dan PKR ke atas pindaan RUU355 itu.- MalaysiaGazette.