Home Asnb Hanya RM100 untuk urusan Hibah Amanah – ASNB

Hanya RM100 untuk urusan Hibah Amanah – ASNB

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menawarkan harga istimewa RM100 (termasuk GST) kepada pelaburnya untuk perkhidmatan pengurusan perwarisan Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah untuk tempoh 1 Mac hingga 30 April ini.

Harga istimewa ini ditawarkan sempena penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM 2017) yang akan berlangsung di Temerloh, Pahang bermula 20 hingga 25 April 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif & Pengarah Eksekutif Amanah Saham Nasional Berhad, Mohammad Hussin berkata, pelabur hanya perlu membayar RM100 berbanding kos biasa iaitu RM180 (tidak termasuk GST) bagi satu kontrak Hibah Amanah atau Pengisytiharan Amanah.

“Borang pendaftaran bagi kedua-dua perkhidmatan berkenaan boleh diperoleh di semua 30 Pejabat Cawangan ASNB di seluruh negara atau dimuat turun di laman web ASNB (www.asnb.com.my),” katanya.

Menerusi Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah, proses tuntutan waris untuk harta pusaka berbentuk unit amanah ASNB dipermudah dan dipercepatkan, yang mana ia hanya mengambil masa kira-kira 30 hari untuk proses tuntutan waris diselesaikan.

Berdasarkan undang-undang Malaysia, unit amanah dikategorikan sebagai harta persendirian dan ini menyebabkan pewarisan unit amanah tertakluk kepada undang-
undang probet dan pentadbiran.

Ini bermakna hanya pentadbir atau wasi yang dilantik oleh mahkamah sahaja yang boleh menuntut harta pelabur yang telah meninggal dunia.

Tanpa kaedah tuntutan seperti Hibah Amanah, proses pengagihan harta pusaka berbentuk unit amanah mungkin rumit dan memakan masa yang panjang. Ia boleh menjadi lebih sukar sekiranya ada tuntutan bertindih dan tiada persefahaman antara waris.

ASNB berkata, dengan melanggan Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah, pemegang unit ASNB dapat merancang perwarisan mereka dengan menamakan Penerima dan Penerima kelak boleh membuat tuntutan dengan lebih pantas.

Pendaftaran Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah ini boleh meliputi lebih daripada satu tabung unit amanah ASNB secara serentak dan pelabur boleh menamakan sehingga 10 penerima.

Hibah Amanah yang dikhususkan kepada pemegang unit beragama Islam adalah berlandaskan Syariah, menerapkan konsep hibah dan amanah dalam pengurusan harta, sementara Pengisytiharan Amanah untuk pemegang unit bukan Islam pula menerapkan konsep amanah. – MalaysiaGazette