KUALA LUMPUR- Permohonan bagi debat Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Nazri Aziz ditolak kerana kelewatan mengemukakan borang pemberitahuan yang sepatutnya dilakukan 10 hari sebelum tarikh perhimpunan kepada Ketua Polis Daerah.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Datuk Hasnan Hassan berkata, pihaknya ada menerima permohonan tersebut daripada penganjur, Kumpulan Media Karangkraf yang menyatakan program tersebut akan diadakan pada 25 Mac ini pada jam 2.30 petang di Dewan Maktab Rendah Sains Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kuala Kangsar.

Permohonan tersebut diterima oleh Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abdul Haq pada 20 Mac 2017, jam 3 petang iaitu kira-kira lima hari sebelum perhimpunan tersebut diadakan.

Selain itu, polis mendapati lokasi MRSM tidak sesuai kerana ia kawasan sekolah dan salah satu tempat larangan di dalam Jadua Pertama, Seksyen 3 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Polis juga, katanya, menerima lapan laporan polis yang dibuat oleh orang awam dan penduduk sekitar kawasan perhimpunan akan diadakan.

“Jadual Ketiga APA 2012 jelas menyatakan perhimpunan  dan dialog seperti ini tidak termasuk dalam perhimpunan yang dibenarkan.

“Setelah dikaji dan ditimbang sebab-sebab perhimpunan tersebut akan diadakan dan mengambil kira faktor keselamatan, ketenteraman awam, perlindungan hak dan kebebasan orang ramai, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar telah menolak permohonan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Hasnan, penolakan telah dimaklumkan kepada penganjur semalam dan keputusan secara bertulis akan diserahkan pemohon pada hari ini.- MalaysiaGazette