KUALA LUMPUR – MIC tidak dimaklumkan kerajaan akan membentangkan sendiri RUU355 seperti yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,  kata presidennya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Menurutnya, pendirian MIC terhadap RUU355 hanya akan diumumkan selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami MIC tidak dimaklumkan apa-apa mengenai pindaan undang-undang Mahkamah Syariah itu kononnya akan dibentang sendiri oleh kerajaan,’ lapor Malaysia Nanban sebagai memetik kenyataan Subramaniam.

Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan menyatakan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin parti-parti komponen.

“Dalam mesyuarat itulah kami akan diberi taklimat mengenai RUU355. Seperti MCA, MIC juga akan terlebih dahulu akan berjumpa PM dan barulah menyatakan pendirian kami mengenai bil itu,” tegasnya lagi.

Bil bagi melakukan pindaan pada undang-undang Mahkamah Syariah telah dibentangkan pada 24 November lalu di Dewan Rakyat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang.

RUU 355 itu bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi memperkasa mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

Ketika ini kuasa mahkamah syariah hanya terhad kepada penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan 6 sebatan.

Abdul Hadi mahu supaya kuasa itu ditambah dengan hukuman penjara hingga 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan. – MalaysiaGazette