Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengkritik Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Aziz mula menyebabkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong parti Islam, terbaharu Pas Pandan pula mahu memutuskan hubungan dengan PKR.

Perkara itu itu dinyatakan Ketua Pemuda Pas Pandan, Mohamed Sukri Omar yang menyifatkan tindakan Menteri Besar Selangor itu sebagai biadab dan tidak menghormati persepakatan yang sedia terjalin antara kedua-dua parti.

“Dewan Pemuda Pas Kawasan Pandan mengecam tindakan YAB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana mengeluarkan kenyataan biadab dan sinis terhadap YB Ustaz Nik Muhammad Abduh (Ketua DPPM).

“Dengan kenyataan biadab Mohamed Azmin di Twitter sudah cukup mengambarkan tiada lagi setiakawan yang bakal mengundang ‘Sedia Lawan’. Semakin pimpinan Kami berusaha mencari titik persefahaman persepakatan, semakin lantang pimpinan PKR mencari jalan bertentang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Sukri mengulas sindiran Mohamed Azmin berhubung ‘tok lebai’ yang mempunyai hasrat untuk menawan Selangor tetapi tewas dalam pemilihan parti di kawasan sendiri dalam jawatan yang ditandinginya.

Beliau juga berkata mereka tidak kisah walaupun dianggap sebagai ‘Parti Lebai’, malahan berbangga dengan label tersebut.

“Biarpun kami sinonim dengan ‘Parti Lebai’, demi Allah kami cukup berbangga. Kerana di dalam ‘Parti Lebai’ inilah kami berjaya mengumpulkan profesional dan agamawan yang didalam dada mereka sarat dengan cita-cita menegakkan Islam.

“Pimpinan kami sudah lama berlapang dada dan berbesar hati membuka ruang dan peluang kepada mana-mana parti politik untuk bertahaluf siyasi dan bersama menentang rejim zalim Barisan Nasional,” ujarnya.

Bagi membalas tindakan biadab Mohamed Azmin itu, Mohamed Sukri berkata Pemuda Pas Pandan akan mengemukakan usul supaya diputuskan hubungan dengan PKR ke Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pandan untuk dibincangkan semasa muktamar pada April depan.

“Kami Pemuda Pas Pandan akan membawa usul diperingkat Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pandan agar diputuskan kerjasama dengan PKR.

“Kami bersedia menghadapi PKR sekiranya keputusan Majlis Syura Ulamak Pas dan Pas Pusat untuk memutuskan kerjasama dengan PKR,” katanya. – MalaysiaGazette