Home Ekonomi Bursa mahu maklum balas ISSB-NT

Bursa mahu maklum balas ISSB-NT

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) hari ini mengeluarkan satu kertas perundingan untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai rangka kerja Sekuriti Jualan Islam dan Transaksi Runding Pembelian (ISSB-NT).

Pengenalan rangka kerja ISSB-NT ini bertujuan untuk menyediakan alternatif patuh Syariah kepada rangka kerja Sekuriti Pinjaman dan Transaksi Rundingan Pinjaman (SBLNT), untuk mengembangkan sekuriti patuh Syariah.

Rangka kerja ini dijangka menyediakan persekitaran perdagangan yang lebih mudah dan meningkatkan kecairan dagangan dan kelajuan sekuriti, yang mana peserta pasaran mempunyai saluran alternatif yang mematuhi prinsip-prinsip Syariah.

Rangka kerja ISSB-NT yang dicadangkan itu dijangka meningkatkan pertumbuhan dan pembangunan dalam pasaran sekuriti patuh syariah terutamanya dalam Dana Pertukaran Dagangan Islam.

Ia juga akan meningkatkan kecairan serta memudahkan aktiviti lindung nilai dan pengurusan risiko yang lebih baik oleh pengurus dana dan kekayaan Islam.

Prinsip-prinsip syariah berkenaan digunakan berkenaan dengan rangka kerja ISSB-NT yang dicadangkan berdasarkan kepada pengesahan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan ia termasuk ciri-ciri wa’dan (dua janji unilateral/aku janji), khiyar al-shart (pilihan bersyarat) dan penyediaan cagaran sebagai jaminan bagi hutang.

Industri dan orang awam dijemput untuk mengemukakan maklum balas dan ulasan kepada Bursa Malaysia sebelum 19 April ini. – MalaysiaGazette