Speaker Parlimen Republik Korea Selatan, Chung Sye-kyum (tengah) bercakap selepas membuat kunjungan hormat ke Parlimen Malaysia. foto SAFWAN MANSOR, 22 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Korea Selatan hari ini mengesa Korea Utara membenarkan rakyat Malaysia di negara itu dikembalikan ke negara ini dengan selamat.

Yang Dipertua Dewan Negara Republik itu, Chung Sye-kyun berkata, tindakan itu perlu diambil segera oleh Korea Utara bagi melicinkan rundingan antara kedua-dua negara berhubung isu yang timbul ekoran kematian Kim Jong nam pada 13 Februari lalu.

“Apa yang penting rakyat Malaysia yang berada di sana dibenarkan pulang dengan selamat. Itu perkara yang paling penting buat masa ini. Saya harap ia dapat dilakukan segera,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Sye-kyun ditemui media di perkarangan Dewan Rakyat selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pertemuan selama 30 minit itu rata-ratanya berunding mengenai isu kematian Kim Jong- nam dan Projek Keretapi Laju (HSR).

Sebelum ini, Pyongyang menolak laporan bedah siasat kematian abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang.

Duta Korea Utara ke Malaysia yang diusir, Kang Chol dalam satu transkrip kenyataan berkata, bedah siasat itu telah dijalankan tanpa kebenaran dan kesaksian mereka dan mereka berikrar untuk menolak keputusan itu.

Kang Chol juga menuduh Kuala Lumpur bekerjasama dengan musuh Korea Utara, kerana katanya, dia telah mengemukakan kertas kerja yang betul untuk memastikan pembebasan badan Jong Nam ke Pyongyang tetapi tidak menerima jawapan.

Malaysia dengan itu mengusir Kang Chol ekoran tuduhan itu dan gagal mengemukakan permohonan maaf secara bertulis.

Buat masa ini, Malaysia masih menunggu keputusan waris Jong nam dalam proses pengurusan mayat selepas mengumumkan bahawa telah mendapat DNA waris dari lokasi yang dirahsiakan.

“Malaysia telah berlaku adil terhadap siasatan tersebut dan kami harap ia akan kekal begitu dan semua akan kembali normal tidak lama lagi,” kata Sye-kyun.

Seramai sembilan rakyat Malaysia kini gagal kembali ke negara ini ekoran sekarang daripada Korea Utara selepas Kuala Lumpur menghalau Kang Chol daripada negara ini. -MalaysiaGazette.