Reaksi ceria Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala (kanan) selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Transfomasi Global 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 22 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia diunjur lebih tinggi tahun ini berbanding 4.2 peratus pada tahun lalu.

“Kami menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar tinggi tahun ini dan pertumbuhan terus meningkat pada 2018,” kata Datuk Seri Najib Razak pada Forum Transformasi Global di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengunjurkan ekonomi negara berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun 2017.

Perdana Menteri berkata, angka itu menunjukkan ekonomi negara berkembang lebih dua kali ganda daripada unjuran Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi ekonomi-ekonomi maju pada tempoh yang sama.

Sebelum ini, kerajaan mengunjurkan ekonomi negara berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun 2017. Pada tahun lalu, KDNK negara 4.2 peratus.

Ketika berucap, Najib turut mengulangi bahawa Malaysia berada pada landasan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Tambah beliau, IMF dalam penilaian terbaharunya terhadap Malaysia berkata, ekonomi negara ini terus menunjukkan prestasi baik, walaupun terhadap halangan ketara dan mencapai kemajuan yang ketara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Agensi-agensi penarafan utama seperti Fitch, Standard and Poors and Moodys pula mengesahkan Malaysia dalam Kategori A.

“Mereka mengiktiraf pembaharuan-pembaharuan kita dan menggesa negara meneruskan transformasi,” katanya.

Malah, baru-baru ini, BAV Consulting dan Wharton School University Pennsylvania yang menerbitkan Laporan Negara-Negara Terbaik 2017 berkata, Malaysia adalah negara terbaik dunia untuk pelaburan.

Najib berkata, walaupun dengan pencapaian-pencapaian itu, kerajaan masih ada banyak tugas yang perlu dilakukan dalam menuju ke sebuah negara berpendapatan tinggi.

Kerajaan telah menetapkan untuk mencapai matlamat baharu di bawah Pelan Transformasi Negara untuk menjadi 20 negara utama di dunia pada tahun 2050.

Perdana Menteri berkata, PriceWaterhouseCoopers dalam laporan terbaharu pula meramalkan KDNK negara akan berada dalam kedudukan ke-25 tertinggi di dunia dengan menggunakan kaedah kesamaan kuasa membeli pada tahun 2030 dan tempat ke-24 pada tahun 2050.

“Jadi, kedudukan 20 berada dalam genggaman Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette