KUALA LUMPUR – Ketua Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua mencabar Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa agar mengadakan debat terbuka dengan penasihat DAP Lim Kit Siang berhubung tuduhan rasis antara kedua-dua pihak sebelum ini.

Perkara itu dikatakan ‘perang mulut’ antara kedua-dua pihak makin berlarutan sehinggakan melibatkan tindakan undang-undang antara mereka.

“Saya cabar kalau Tan Sri Annuar Musa percaya bahawa Kit Siang telah menganiaya orang Melayu, dan benci serta hina orang Melayu biar satu perdebatan diadakan antara kedua-dua mereka,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Episod cabar mencabar antara Annuar dengan Kit Siang berlarutan apabila Annuar terlebih dahulu mencabar Kit Siang agar mengemukakan saman terhadap dirinya yang mendakwa DAP sebuah parti anti Islam.

Semalam, Penasihat DAP itu kali ini mengelar Ketua Penerangan UMNO itu sebagai ‘bapa segala rasis’.

Katanya, beliau bersedia untuk menyaman Annuar berhubung isu bersabit gelaran rasis.

“Di luar Parlimen saya kata dia ‘bapa segala rasis’, memalukan Islam dan dia boleh saman saya. Itu cabaran saya.

“Kalau dia rasa ini satu fitnah, boleh ambil tindakan udang-undang terhadap saya. Mengenai apa yang dia kata kepada saya, biar peguam saya yang uruskan. Saya terima dia mahu saman saya jadi dia boleh buat demikian,” katanya mengenai tindakan provokasi Annuar semalam.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh sebelum ini mencabar Kit Siang untuk mengemukakan saman kepada beliau.

Ia berikutan kenyataan Anuar sebelum ini yang menggelarkan Kit Siang anti Islam, DAP parti rasis dan juga diktator. -MalaysiaGazette.