Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada Program Bicara Komuniti TN50 di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 23 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk mewujudkan Desa Digital dalam usaha memperkasakan ekonomi usahawan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan penembusan jalur lebar di kawasan kampung menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Beliau menegaskan, inisiatif Desa Digital mampu menyelesai pemasaran produk sekali gus ia dapat dijual secara bisnes dalam talian.

“Pihak kementerian sedang berbincang dengan KMM bagi membantu membantu penembusan lebih mudah di kawasan desa.

“Masalah usahawan desa ini, mereka memiliki produk yang bagus untuk dipasarkan dan dijual namun berdepan isu pemasaran produk.

“Tetapi bila sampai pada isu pemasaran produk, mereka berhadapan dengan masalah untuk memasarkan produk kerana perkhidmatan internet masih lagi tidak menyeluruh di luar bandar.

“Jadi Desa Digital mampu menggalakkan mereka menggunakan perkhidmatan dalam talian bagi memasarkan produk mereka, sekaligus menjana lebih banyak keuntungan,” katanya dalam sidang media selepas program Bicara Komuniti TN50 di sini hari ini.

Program Bicara Komuniti TN50 dianjurkan oleh KKLW melalui Institut Kemajuan Desa (INFRA) itu dihadiri oleh lebih 200 belia yang terdiri daripada pensyarah, pemimpin pelajar, pertubuhan bukan kerajaan serta usahawan industri kecil dan sederhana. – MalaysiaGazette