Ahmad Hakimi Othman.

KUALA LUMPUR – Nampaknya cabar mencabar antara Pas dengan PKR semakin panas di Selangor.

Kali ini, Dewan Pemuda Pas Kuala Selangor pula mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya memecat exco negeri daripada parti Islam itu dan menegaskan mereka tidak kisah untuk bergerak bersendirian.

Pendirian itu dibuat selepas Pemuda Pas Kuala Selangor itu meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR dalam mesyuarat tahunan mereka, kata ketuanya, Ahmad Hakimi Othman.

“Sekiranya Mohamed Azmin merasakan mampu memecat exco Pas, kita akan terima dan bergerak seperti biasa. Yang penting prinsip bersama Islam mesti dipegang.

“Kemenangan dan rahmat adalah pemberian Allah. Sekiranya yang dilakukan menepati syarat Allah, Kemenangan pasti dapat dikecapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tindakan itu dilihat sebagai tindak balas kepada kenyataan Timbalan Presiden PKR itu yang menyindir Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam akaun Twitter baru-baru ini berhubung isu ‘tok lebai’ mahu menawan Selangor.

Terdahulu, Dewan Pemuda Pas Subang dan Pandan juga sudah memberikan bayangan ketetapan serupa akan diambil dengan menyifatkan kenyataan Mohamed Azmin itu sebagai biadab.

Dalam pada itu, Ahmad Hakimi memberi alasan keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR dibuat berdasarkan tiga perkara iaitu sikap sinis dan pengkhinatan PKR serta kegagalan Mohamed Azmin menyelesaikan masalah air sehingga turut memalitkan Pas.

“Tiga isu ini sebahagian bukti yang secara syariatnya, tahaluf siyasi pilihan raya bersama PKR perlu diputuskan. Ada pun keberadaan Pas dalam Kerajaan Negeri Selangor di bawah peruntukan Undang Undang Tubuh Negeri yang berketuakan Sultan,” katanya. – MalaysiaGazette