Kedutaan Korea Utara di Damansara, Kuala Lumpur. foto ADIB AIMAN ROSLI

KUALA LUMPUR – Bukit Aman tahu identiti individu-individu yang berada di Kedutaan Korea Utara di Malaysia.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis Malaysia masih berusaha untuk mendapatkan kerjasama daripada kedutaan tersebut.

“Kami tahu siapa yang berada di dalam kedutaan itu, jadi tidak timbul video yang dirakamkan,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang lelaki yang menyerupai kakitangan syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk-il dalam rakaman video di Kedutaan Korea Utara.

Lelaki itu antara individu yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam.

Tegasnya, pencarian beberapa suspek berkaitan pembunuhan Jong-nam masih dibuat.

Setakat ini, tidak ada perkembangan lanjut berhubung Notis Merah Interpol yang dikeluarkan bagi empat lelaki Korea Utara sejak mereka kembali ke Pyongyang.

“Kita dalam usaha mencari suspek yang lain,” tambahnya.

Ditanya mengenai ejen-ejen Korea Utara yang tiba di Malaysia untuk menyiasat pembunuhan Jong-nam, Khalid enggan mengulas.

Beliau berkata, mana-mana penguatkuasa undang-undang asing yang mahu menjalankan siasatan di Malaysia perlu mendapatkan kelulusan daripada polis. – MalaysiaGazette